Monday, March 16, 2009

Angkara Bubur Cair

Dari petikan MyMetro Oleh Zalifah Mohd Yatim(zalifah@hmetro.com.my)

SEGAMAT: Hanya kerana menyediakan bubur terlalu cair, seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa disiram air panas, dirotan dan ditumbuk majikan wanitanya di sebuah rumah di Taman Segar di sini, kelmarin.Ketika kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa, Siami, 27, mendakwa diminta menyediakan bubur tetapi membuatnya terlalu cair hingga menimbulkan kemarahan majikan yang mencurah air panas ke badannya sebelum menumbuk mata dan memukulnya dengan rotan.Akibat tidak tahan dengan perbuatan itu, wanita yang dipercayai baru lima bulan bekerja di rumah bekas guru sandaran terbabit melarikan diri ke rumah jiran meminta pertolongan sebelum diambil semula majikannya dan dibawa pulang ke rumah.Bagaimanapun, jiran majikan mangsa yang bimbangkan nasib pembantu rumah berkenaan menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian berkenaan.Susulan itu, mangsa dibawa polis membuat laporan sebelum dihantar ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan dengan bantuan jiran berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati mangsa yang berasal dari Jawa Timur mengalami luka pada muka, kaki dan seluruh badan selain tangan kanannya patah.Menurut Siami, keluarga berkenaan majikan pertamanya di negara ini dan dia langsung tidak menyangka hasratnya mencari rezeki di negara ini menjadi pengalaman ngeri apabila didera dan dicederakan majikan.Katanya, sepanjang kira-kira lima bulan bekerja dengan keluarga berkenaan, dia sering ketakutan apabila mendakwa kerap dipukul dan dirotan walaupun hanya melakukan kesalahan kecil.Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Sukarno Ahmad Zahari, berkata polis sudah menahan dan mengambil kenyataan majikan mangsa berusia 30 tahun dan wanita itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis.Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan berkenaan.

No comments: